Balin Miller, yang popular di media sosial kerana aksi mendakinya, maut ketika sedang melakukan siaran langsung di TikTok selepas terjatuh dari tebing batu setinggi 915 meter di Taman Negara El Capitan
Ibunya, Jeanine Girard-Moorman mengesahkan kematian anaknya dalam satu hantaran media sosial yang penuh emosi.
“Hati saya hancur berkecai. Saya tidak tahu bagaimana untuk melalui semua ini. Saya amat menyayanginya dan berharap ini cuma mimpi ngeri,” katanya.
Menurut abangnya, Dylan Miller, Balin 25, dipercayai menggunakan teknik ‘lead rope soloing’ satu kaedah yang membolehkan pendaki mendaki secara bersendirian dengan bantuan tali keselamatan di laluan Sea of Dreams setinggi 730 meter.
Dylan berkata, adiknya telah menamatkan pendakian dan sedang menarik naik peralatan apabila dipercayai tergelincir selepas menuruni tali hingga ke penghujungnya.
Jurugambar Yosemite, Tom Evans, , memberitahu majalah Climbing bahawa dia segera menghubungi talian kecemasan selepas melihat Miller cuba melepaskan beg yang tersangkut pada batu.
Miller berasal dari Anchorage, Alaska, dan mula mendaki sejak kecil bersama ayah dan abangnya.
Dia dikenali dalam komuniti pendakian antarabangsa selepas berjaya melakukan pendakian solo pertama di laluan Slovak Direct di Gunung McKinley, yang disiapkannya dalam masa 56 jam satu pencapaian luar biasa yang mendapat pujian ramai pendaki profesional.
Rakan pendaki, Clint Helander, menyifatkan enam bulan terakhir Miller sebagai antara “yang paling mengagumkan dalam dunia pendakian”.
Pendaki legenda, Mark Westman, turut membandingkan kehebatannya dengan Alex Honnold, pendaki terkenal yang pertama menamatkan pendakian bebas sepenuhnya di El Capitan.
Pihak Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat memaklumkan siasatan insiden sedang dijalankan dan pasukan kecemasan bertindak segera di lokasi kejadian.
Kematian Miller merupakan kes ketiga di taman itu tahun ini, selepas dua lagi pendaki maut dalam insiden berasingan pada Jun dan Ogos lalu.



