13 lelaki termasuk remaja 17 tahun merusuh di Jinjang Utara didakwa

SEBANYAK 13 lelaki termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merusuh di sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara, awal bulan ini.

Mereka ialah T Kavilan, 25; Wong Kui Yoong, 51; Leow Mun Yee, 33; Leong Chun Kit, 26; Yam Kit Lun, 21; Lim Zhen Huang, 31; Tan Kai Hao, 30; Teh Jin Huat, 40; Wong Kai Yan, 24; Lim Eng Hoon, 24; Kong Wai Lun, 22; Tan Hwa Yuan, 19; serta seorang remaja berusia 17 tahun.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama lima lagi individu yang masih bebas didakwa merusuh menggunakan batang kayu rotan sehingga boleh menyebabkan kecederaan di hadapan sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara pada jam 3.27 petang, 11 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan Kit Lun, Hwa Yuan dan remaja itu masing-masing diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin, manakala 10 lagi tertuduh dewasa dibenarkan jaminan RM5,500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani, manakala peguam Mona Leonard Lubon mewakili Zhen Huang, Kai Hao, Jin Huat dan remaja terbabit. Sembilan lagi tertuduh diwakili peguam Nur Ashiqeen Mohd Sultan.

Media sebelum ini melaporkan semua lelaki terbabit ditahan pada 13 Jun lalu dalam beberapa operasi serbuan di sekitar ibu negara kerana disyaki terbabit dalam kejadian rusuhan dan pergaduhan membabitkan sekumpulan individu bersenjata.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan urusan hutang sebelum bertukar menjadi pergaduhan besar sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img