Pesta dadah: Lapan individu termasuk 2 warga tempatan mengaku tidak bersalah miliki dadah

LAPAN lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada Ahad lalu.

Dua tertuduh warga tempatan, Ivan Wong Yi Xian, 24, dan Chong King Jun, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Enam lagi tertuduh iaitu Jensen Soh Kah Yi, 34; Lam Hoi Leung, 30; Hendry Gunawan, 28, Tang Waei, 41; Tran Quang Ha, 26, dan Yeo Wei Seng, 37, kesemuanya warga asing turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin seberat 1.5 gram di bilik sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu kira-kira jam 4 pagi.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan atas pertuduhan pertama, semua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, lapan tertuduh itu didakwa dengan niat bersama memiliki dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 0.7 gram juga di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Kesemua tertuduh bersama-sama telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan atas pertuduhan kedua, semua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham.

Dua tertuduh rakyat tempatan diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshvinder Singh manakala enam lagi tertuduh yang bukan warganegara Malaysia diwakili oleh Yong Jei Bing.

Roshvinder kemudian merayu agar dua anak guamnya diberikan jaminan yang rendah atas alasan mereka hanya bekerja sebagai jurujual dan pekerja di salun kecantikan.

Jei Bing pula kemudian meminta agar keenam tertuduh warga asing itu diberikan jaminan disebabkan mereka hadir ke Malaysia sebagai pelancong dan bukan daripada keluarga yang ‘senang’.

Majistret Nurul Izzah kemudian membenarkan dua tertuduh warga Malaysia diikat jamin RM6,000 setiap seorang, manakala enam lagi tertuduh bukan warganegara tidak dibenarkan diikat jamin.

Beliau turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Ogos bagi serahan dokumen.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img