IRAN menegaskan, negara itu tidak mempunyai rancangan untuk membenarkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memeriksa kemudahan nuklear yang rosak akibat pencerobohan Amerika-Israel.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata, Iran tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan dengan Ketua Pengarah IAEA Rafael] Grossi.
‘’Kami juga tidak mempunyai rancangan untuk membenarkan IAEA memeriksa kemudahan nuklear yang rosak akibat pencerobohan tersebut. Tiada sebarang protokol mengenai perkara itu. Kami akan meneruskan prosedur sedia ada berdasarkan NPT (Perjanjian Pengawalan Penyebaran Senjata Nuklear),’’ katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, isu nuklear, tidak dibangkitkan semasa rundingan di Switzerland dan dijadualkan untuk “diteliti dalam tempoh 60 hari.”
“Isu peluru berpandu dan keupayaan pertahanan Iran juga tidak pernah menjadi sebahagian daripada rundingan dan tidak akan pernah menjadi sebahagian daripadanya,’’ atanya.
Beliau menyatakan bahawa permulaan rundingan mengenai perjanjian rasmi antara Iran dan Amerika Syarikat bergantung kepada pelaksanaan beberapa peruntukan memorandum itu, iaitu penghentian pencerobohan, kedaulatan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz, keupayaan Iran menjual minyak dan produk petrokimia, serta pembebasan aset Republik Islam Iran yang dibekukan.
Mengenai status tentera Amerika Syarikat, Baghaei berkata sebagai sebahagian daripada MoU tersebut, tentera Amerika dikehendaki berundur dari kawasan sekitar Iran dalam tempoh 30 hari selepas perjanjian muktamad dicapai.
Beliau menambah bahawa Amerika Syarikat juga diwajibkan untuk tidak menambah kekuatan tenteranya di rantau itu sepanjang tempoh rundingan.
Mengenai jaminan dan pematuhan, jurucakap itu berkata Iran telah menggunakan semua instrumen yang ada untuk memastikan kedua-dua pihak memenuhi komitmen masing-masing.
“Rakan runding kami ialah kerajaan Amerika Syarikat di bawah memorandum ini, dan kami telah menegaskan prinsip ‘komitmen dibalas dengan komitmen’. Jika mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, mereka tidak seharusnya mengharapkan Iran bertindak secara unilateral.”
Baghaei turut menjelaskan penolakan Iran untuk meneruskan rundingan empat pihak di Switzerland yang melibatkan Republik Islam Iran, para pengantara Pakistan dan Qatar, serta Amerika Syarikat.
“Mesyuarat empat pihak itu berlangsung selama satu setengah jam dan sepatutnya diteruskan selepas rehat selama 30 minit,” katanya.
“Bagaimanapun, dalam tempoh rehat itu, kami berdepan ancaman daripada Amerika Syarikat, dan mesyuarat empat pihak tersebut tidak diteruskan. Rundingan kemudian diteruskan melalui para pengantara. Kami tidak lagi mempunyai sebarang hubungan langsung dengan Amerika Syarikat. Adalah lebih sesuai untuk meneruskan pertukaran mesej melalui pihak perantara.’’






