SEORANG pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditemui maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Bandar Sunway Petalng Jaya hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.03 pagi, sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia 20-an dipercayai telah meninggal dunia dan terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuhnya. Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an di lokasi yang sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan forensik turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai dapat membantu siasatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
M Hussin Sollehuddin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat yang dijadualkan dijalankan pada Rabu bagi mengenal pasti punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Surianti Lataera di talian 013-3352547 bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan bahan berkaitan kejadian di mana-mana platform sehingga menjejaskan siasatan polis,” katanya.






