SEORANG pemandu wanita Proton X50 didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah (Trafik) Kuala Lumpur, Jumaat lalu selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), 25 Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tertuduh berusia 21 tahun itu turut digantung lesen memandunya sehingga kes selesai di mahkamah.
“Dia dibenar jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 10 September ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia 31 tahun maut selepas terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter dalam kejadian pada jam 4.40 petang.
Siasatan mendapati mangsa dipercayai sedang berteduh daripada hujan sebelum SUV jenis Proton X50 itu dipercayai hilang kawalan, terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar dua motosikal termasuk motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari jejambat dan disahkan meninggal dunia.






