Pasport baharu Malaysia dengan 94 ciri keselamatan mula dikeluarkan esok

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang menampilkan 94 ciri keselamatan berbanding 49 sebelum ini bermula esok.

Antara teknologi keselamatan digunakan termasuk ‘guilloche’, ‘latent image’, ‘rainbow printing’, ‘line width modulation’, hologram serta cetakan ultraviolet (UV) yang direka bentuk bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ciri keselamatan baharu itu membabitkan elemen visual, tersembunyi dan forensik, seiring perkembangan teknologi dan keperluan keselamatan global yang semakin kompleks.

Beliau berkata, PMA baharu ini membabitkan tempoh sah laku 10 tahun dengan kadar bayaran RM350, manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal RM200.

“Buat permulaan, pasport akan dikeluarkan di 14 pejabat negeri terlebih dahulu termasuk di ibu pejabat bagi fasa pertama dan dijangka selesai hingga fasa ketujuh.

“Melalui peningkatan ciri keselamatan ini, ia lebih selamat dan sukar dipalsukan,” katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.

Terdahulu, PMA versi baharu itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di reruai Imigresen di lobi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zakaria turut menyerahkan pasport baharu kepada Perdana Menteri ketika majlis pelancaran itu.

Zakaria dalam pada itu berkata, purata pengeluaran pasport sebulan di negara ini kira-kira 180,000 hingga 220,000 dan dengan adanya versi baharu ini, kadar pengeluarannya dijangka meningkat susulan permintaan tinggi.

“Namun saya mohon rakyat Malaysia tidak tergesa-gesa menukar sekiranya pasport sedia ada masih sah tempoh lakunya…. hanya yang sudah tamat ataupun yang hendak memohon baharu, bolehlah meneruskannya,” katanya.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), pengenalan PMA struktur baharu ini satu langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara selain memberikan lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat Malaysia.

KDN memaklumkan bermula esok, warganegara berusia 18 tahun ke atas akan mempunyai pilihan untuk memohon PMA dengan tempoh sah laku sama ada lima atau 10 tahun mengikut keperluan pemohon.

“Pengenalan pasport 10 tahun ini dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.

“Pengenalan tempoh sah laku 10 tahun ini turut memberi penjimatan RM50 kepada pemohon berbanding kos pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan dua kali bagi tempoh sama,” katanya.

Menurut KDN, Malaysia antara negara terawal di dunia memperkenalkan e-Pasport sejak 1998.

Katanya, PMA struktur baharu ini meneruskan tradisi itu dengan mengintegrasikan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO).

“Ia sekali gus memastikan pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang selamat dan dipercayai di peringkat antarabangsa.

“Selain aspek keselamatan, PMA struktur baharu turut mengetengahkan identiti nasional menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan.

“PMA versi baharu memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia menggantikan Bunga Raya sebagai ikon utama untuk PMA sedia ada,” katanya.

Menurut KDN, ikon utama baharu itu diperkenalkan sebagai lambang keunikan biodiversiti dan khazanah alam semula jadi negara.

Katanya, mesin pencetak generasi baharu yang digunakan berkeupayaan mencetak sehingga 60 pasport sejam bagi menyokong keperluan pengeluaran semasa.

“Pasport Malaysia kini terus berdiri sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia. Pengenalan PMA struktur baharu ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan dokumen perjalanan negara kekal selamat, moden, dipercayai dan setanding dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img