Malaysia teruskan dasar luar bebas, berkecuali – Anwar

MALAYSIA akan terus mengamalkan dasar luar yang bebas, proaktif dan tidak berpihak selain tidak akan teragak-agak mempertahankan kepentingan negara dan pendirian berprinsip dalam isu-isu antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu dibuat secara berprinsip bagi mencerminkan identiti Malaysia, pengalaman sejarah negara serta keperluan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran global yang semakin tidak menentu.

Beliau berkata, Malaysia akan terus mengambil pendirian, memupuk hubungan dan menyokong pelbagai inisiatif yang memajukan nilai, kepercayaan dan kepentingan negara.

“Apa kita usahakan selama ini dalam melaksanakan dasar luar Malaysia boleh dirumuskan seperti berikut – satu pendekatan berprinsip, namun tidak terikat dengan mana-mana pihak, bercita-cita tinggi dan berani tanpa bersikap melulu serta tegas mempertahankan kebebasan dalam membuat keputusan tanpa mengetepikan semangat muhibah dan kerjasama,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 di ibu negara hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga tidak boleh bersikap berkecuali dalam perkara yang membabitkan hak asasi, seperti perjuangan rakyat Palestin, usaha membanteras Islamofobia atau isu yang menyentuh kepentingan teras negara, termasuk kedaulatan wilayah, walaupun membabitkan rakan utama, seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

“Pendekatan ini bukan sekadar berpegang kepada warisan lampau, sebaliknya adalah pendekatan yang terancang, mengambil kira siapa kita, dari mana kita datang, apa yang membawa manfaat kepada negara dan bagaimana kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Kita berpegang kepada pendirian berprinsip tetapi tidak memihak, termasuk sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap penyelesaian pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penggunaan kekerasan atau paksaan, sama ada melalui ketenteraan mahupun tekanan ekonomi, hanya akan memburukkan lagi rasa tidak puas hati dan mengundang akibat yang tidak diingini.

Norma lain, seperti kebebasan pelayaran, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pematuhan kepada kerangka perundangan yang dipersetujui juga amat penting bagi menjamin kestabilan di peringkat serantau dan global, kata beliau.

Pada masa sama, Anwar berkata, dasar luar bukan sekadar berkaitan diplomasi atau perdagangan antarabangsa, malah turut membabitkan penciptaan pekerjaan, pelaburan, pemindahan teknologi, pendidikan serta penyediaan peluang yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.

“Selama ini, kita berusaha memperkukuh hubungan ekonomi dengan rakan perdagangan dan pelaburan tradisional negara, selain memperluas perdagangan dengan pasaran baharu yang masih kurang diterokai, khususnya di Asia Barat, Asia Tengah, Amerika Latin dan seluruh benua Afrika.

“Di sinilah diplomasi ekonomi dan geopolitik saling melengkapi, menghasilkan satu gabungan yang amat strategik. Pendekatan kita berteraskan kerjasama yang tulen dalam bidang seperti industri halal, ekonomi digital, pertanian dan teknologi hijau,” katanya.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab pada program berkenaan, Perdana Menteri berkata, beliau percaya sebarang isu yang timbul, terutama dengan negara jiran, perlu diselesaikan secara rundingan, termasuk pertikaian di Laut China Selatan.

Beliau berkata, dalam perbincangan dengan banyak negara Barat, isu yang sering dibangkitkan adalah kemungkinan berlakunya konflik atau ancaman peperangan di perairan itu.

“Adakah Malaysia memandang ringan perkara ini?. Sudah tentu tidak. Apa yang saya maksudkan adalah dalam hampir setiap forum antarabangsa, perkara yang sama dibangkitkan.

“Bagaimanapun, saya mempunyai pandangan berbeza kerana proses libat urus yang sedang berlangsung adalah bermakna dan dilaksanakan secara aktif.

“Kita tidak pernah mengelak daripada membincangkan isu Laut China Selatan. Saya sendiri tidak teragak-agak untuk menyentuh perkara itu dalam setiap sesi libat urus dan memang terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img