MALAYSIA akan terus mengamalkan dasar luar yang bebas, proaktif dan tidak berpihak selain tidak akan teragak-agak mempertahankan kepentingan negara dan pendirian berprinsip dalam isu-isu antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu dibuat secara berprinsip bagi mencerminkan identiti Malaysia, pengalaman sejarah negara serta keperluan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran global yang semakin tidak menentu.
Beliau berkata, Malaysia akan terus mengambil pendirian, memupuk hubungan dan menyokong pelbagai inisiatif yang memajukan nilai, kepercayaan dan kepentingan negara.
“Apa kita usahakan selama ini dalam melaksanakan dasar luar Malaysia boleh dirumuskan seperti berikut – satu pendekatan berprinsip, namun tidak terikat dengan mana-mana pihak, bercita-cita tinggi dan berani tanpa bersikap melulu serta tegas mempertahankan kebebasan dalam membuat keputusan tanpa mengetepikan semangat muhibah dan kerjasama,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 di ibu negara hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia juga tidak boleh bersikap berkecuali dalam perkara yang membabitkan hak asasi, seperti perjuangan rakyat Palestin, usaha membanteras Islamofobia atau isu yang menyentuh kepentingan teras negara, termasuk kedaulatan wilayah, walaupun membabitkan rakan utama, seperti China dan Amerika Syarikat (AS).
“Pendekatan ini bukan sekadar berpegang kepada warisan lampau, sebaliknya adalah pendekatan yang terancang, mengambil kira siapa kita, dari mana kita datang, apa yang membawa manfaat kepada negara dan bagaimana kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Kita berpegang kepada pendirian berprinsip tetapi tidak memihak, termasuk sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap penyelesaian pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.
BERITA LANJUT MENYUSUL






