SEORANG ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng RT6’, menjadikannya individu ke-12 berdepan pertuduhan sama.
Tertuduh, S. Ashok Kumar, 50, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Geng RT6” di Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam Revin Kumar.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pada 25 Mei lalu, seramai 11 lelaki turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sama.
Mereka ialah A. Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R. Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohammad Atif Khan Mohammad Ali Khan yang masing-masing berusia antara 22 hingga 48 tahun.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng RT menerusi tindakan di bawah Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, sindiket itu dipercayai aktif dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah selain terbabit dalam jenayah kekerasan di sekitar Lembah Klang sejak 2020.






