Piala Dunia…’tarian terakhir’ Ronaldo bersama pasukan Portugal

CRISTIANO Ronaldo dijangka menamatkan karier gemilangnya bersama Portugal selepas Piala Dunia ini, menurut adik perempuannya.

Katia Aveiro mendakwa para penyokong Portugal boleh “mengucapkan selamat tinggal” kepada bintang berusia 41 tahun itu dan menyifatkan kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico sebagai “tarian terakhir” Ronaldo bersama skuad kebangsaan.

Berita itu muncul hanya beberapa jam sebelum Portugal menentang Croatia di Toronto bagi merebut tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.

“Daripada maklumat yang saya terima, mereka boleh mengucapkan selamat tinggal,” katanya kepada Sport TV di luar Stadium Toronto.

“Bukan hari ini, tetapi saya percaya inilah perpisahan itu. Saya bercakap mengenai pasukan kebangsaan. Daripada sumber yang boleh dipercayai, ini adalah ‘tarian terakhir’, iaitu Piala Dunia.”

Ronaldo memperoleh penampilan antarabangsa ke-232 apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Croatia. Beliau juga merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki dengan 145 gol bersama Portugal.

Pemergiannya daripada skuad kebangsaan Portugal sebenarnya tidak mengejutkan. Ronaldo akan berusia 43 tahun menjelang Kejohanan Eropah (Euro) 2028 dan 45 tahun apabila negaranya menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia berikutnya bersama Sepanyol dan Maghribi.

Bintang Al-Nassr itu melalui kempen yang bercampur-campur di Amerika Utara. Selepas aksi mengecewakan dalam keputusan seri 1-1 menentang Republik Demokratik Congo pada perlawanan pembukaan Portugal, beliau bangkit menjaringkan dua gol ketika menentang Uzbekistan.

Persembahan hambar menentang DR Congo mencetuskan dakwaan kononnya berlaku “perang saudara” dalam bilik persalinan Portugal.

Ia susulan tuduhan daripada penyokong fanatik Ronaldo – termasuk Aveiro sendiri – yang mendakwa wujud usaha untuk mengetepikan penyerang veteran itu daripada pasukan.

Aveiro turut menekan butang “suka” pada satu hantaran Instagram yang mengkritik Bruno Fernandes selepas keputusan seri dengan DR Congo, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai ketegangan dalam kem Portugal.

Namun Ronaldo membalas segala kritikan dengan dua gol ketika menentang Uzbekistan, sekali gus menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia. Selepas perlawanan itu, beliau mengisytiharkan, “Saya kembali”, sebelum meninggalkan sidang media secara mengejut selepas diajukan soalan mengenai Lionel Messi.

“Supaya kamu semua tidak lupa, supaya kamu semua tidak lupa,” katanya mengenai mesej yang ditujukan kepada kamera.

“Saya sudah tahu. Tuhan membantu mereka yang bekerja keras. Minggu ini sangat sukar dan gelap. Seolah-olah saya sudah bersara daripada bola sepak, tetapi saya bertahan seperti yang selalu saya lakukan kerana saya lebih percaya kepada kerja keras daripada bola sepak. Memang sukar, saya akui, tetapi kami kembali.”

Mengenai detik bersejarah itu, Ronaldo berkata:

“Saya sangat gembira, tetapi bagi saya perkara paling penting ialah usaha yang ditunjukkan oleh pasukan dan keyakinan yang kami miliki.”

“Kami menerima banyak kecaman sepanjang minggu, dan kami tahu perkara itu akan berlaku. Pasukan bekerja dengan sangat baik dan kami banyak meningkat. Seperti kata orang, ada musibah yang membawa hikmah.”

“Bagi diri saya sendiri, memang seronok memecahkan rekod, tetapi matlamat utama saya ialah membantu pasukan kebangsaan mencapai objektifnya. Pada peringkat ini, objektifnya ialah layak ke pusingan seterusnya. Dengan empat mata, saya rasa kami sudah mencapainya.”

Gol pertama Ronaldo untuk Portugal di Piala Dunia hadir 20 tahun lalu di Jerman apabila beliau menjaringkan gol menentang Iran di Frankfurt.

Beliau menambah satu lagi gol pada edisi 2010 ketika menentang Korea Utara, diikuti satu gol menentang Ghana di Brazil pada 2014.

Empat lagi gol hadir di Rusia pada 2018 – termasuk hatrik menentang Sepanyol dalam perlawanan pembukaan serta satu lagi gol menentang Maghribi.

Di Qatar 2022, Ronaldo menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia apabila meledak gol tunggal kemenangan menentang Ghana. Rekod itu kemudiannya disamai pencabar utamanya, Lionel Messi, pada kejohanan kali ini.

Namun kini Ronaldo kembali berdiri sendirian apabila menjaringkan gol dalam enam kejohanan Piala Dunia, sekali gus menjadi jawapan paling tepat kepada mereka yang menganggap beliau memberi kesan negatif kepada pasukan selepas gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang dalam aksi pembukaan menentang DR Congo.

Bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu turut mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi pemain pertama berusia 41 tahun yang beraksi dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia ketika menentang Croatia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img