PH lancar manifesto, mahu jadikan Johor sebagai ‘Shenzhen Asia Tenggara’

PAKATAN Harapan (PH) melancarkan manifesto bagi PRN Johor pada 11 Julai dengan menggariskan visi dan pelbagai inisiatif untuk menjadikan negeri itu sebagai ‘Shenzhen Asia Tenggara’.

Gelaran itu merujuk kepada pembangunan pesat Shenzhen yang berkembang menjadi hab teknologi serta bandar ketiga paling ramai penduduk di China selepas beberapa dekad berada di belakang bandar jiran, Hong Kong.

Antara inisiatif utama yang dicadangkan PH ialah program untuk membawa pulang 20,000 tenaga profesional yang kini bekerja di Singapura ke Johor menjelang 2031 menerusi pelbagai insentif pekerjaan dan keusahawanan.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan baharu yang ingin dibawa PH tidak lagi tertumpu di Johor Bahru atau beberapa kawasan tertentu sahaja, sebaliknya diperluaskan ke seluruh negeri termasuk Johor Utara, Johor Tengah dan Johor Selatan.

“Falsafah pembangunan baharu Johor di bawah Pakatan Harapan adalah Johor yang adil kepada semua. Pembangunan ekonomi mesti sampai ke setiap lokaliti dan daerah, bukan hanya tumbuh di sebahagian tempat.

“Menteri Besar nanti adalah Menteri Besar untuk semua daerah, semua DUN dan semua rakyat Johor,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Manifesto PH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Johor Bharu hari ini.

Perkara-perkara lain yang dijanjikan oleh PH ialah:

* MENYEDIAKAN perlindungan insurans kesihatan awam sehingga RM100,000 kepada 500,000 rakyat Johor, khususnya golongan B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU).

*MEMBERIKAN RM8,000 kepada 50,000 keluarga muda bagi membantu pembayaran wang pendahuluan rumah pertama, di samping menawarkan pembiayaan yang lebih mudah, skim sewa beli serta membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.

*MEMBERIKAN bonus RM1,000 bagi setiap bayi yang dilahirkan di Johor.

* MENUBUHKAN 250 pusat jagaan kanak-kanak Madani bagi membantu wanita kembali ke alam pekerjaan

*MEMPERKENALKAN pas pengangkutan awam RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU.

*MEMPERKENALKAN rangkaian bas pengantara Rapid Transit System Link (RTS) di Skudai, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang, dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura.

*PEMBERIAN INISIATIF RM500 juta untuk belia, pembiayaan RM1 bilion bagi PKS

* MEMPERUNTUKKAN RM500 juta untuk pelbagai program yang memfokuskan golongan belia, termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf premium, latihan kecerdasan buatan (AI), inisiatif keusahawanan belia serta tuisyen percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

*MENYEDIAKAN RM1 bilion dalam bentuk dana bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan untuk membantu memulakan perniagaan baharu.

*MENDIGITALKAN perniagaan tempatan sedia ada..

*MENYASARKAN Johor menjadi pengeluar utama agromakanan.

*MENINGKATKAN eksport Johor ke pasaran ASEAN.

*MAHU mewujudkan 250,000 pekerjaan baharu berpendapatan tinggi.

* MENINGKATKAN pendapatan median rakyat Johor kira-kira 30% dalam tempoh lima tahun menerusi program peningkatan kemahiran berasaskan AI, automasi dan logistik pintar, antara lain.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img