IRAN memulakan peringkat pertama upacara penghormatan dan pengebumian bagi Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei hari ini yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS) pada 28 Februari lalu dengan kehadiran para kenamaan asing, pemimpin agama serta wakil pelbagai pertubuhan dari beberapa negara di Mosalla Imam Khomeini (Grand Mosalla), Tehran.
Menurut Agensi Berita Iran, jenazah Ayatollah Seyyed Ali Khamenei bersama-sama jenazah para pengiringnya dipindahkan ke Grand Mosalla pada awal pagi Jumaat dan ditempatkan di dewan solat utama sebagai persediaan bagi majlis penghormatan awam yang dijadual berlangsung selama dua hari.
Majlis penghormatan khas untuk para kenamaan asing turut diadakan pada hari Jumaat di Mosalla Imam Khomeini.
Pemimpin-pemimpin agama dari Rusia, India, China, Turkiye, Iraq, Bosnia dan Herzegovina, Hungary serta Bangladesh hadir memberikan penghormatan.
Turut hadir ialah sekumpulan mujahidin daripada Kata’ib Hezbollah Iraq bagi memberikan penghormatan kepada Allahyarham.
Selain itu, para ulama dan cendekiawan agama dari Malaysia, Indonesia dan Afghanistan turut menghadiri majlis berkenaan, termasuk Ahmad Massoud, anak kepada Ahmad Shah Massoud.
Delegasi daripada Pergerakan Amal Lubnan serta wakil-wakil Barisan Penentangan dari Syria, Lubnan, Iraq dan Maghribi juga dilaporkan hadir bagi memberikan penghormatan.
Aktivis kebudayaan dari Sepanyol, Ecuador dan Bolivia turut berada di Mosalla Imam Khomeini bagi memberi penghormatan terakhir.
Wakil daripada pusat-pusat Islam, pertubuhan masyarakat sivil serta gerakan antiperang dan antihegemoni dari beberapa negara Eropah, termasuk Itali, Belanda, Britain, Denmark dan Austria, telah berkunjung ke Tehran sama ada untuk menghadiri upacara tersebut atau membuat liputan media mengenainya.
Upacara penghormatan akan diteruskan pada hari Sabtu dan Ahad dengan jenazah ditempatkan di Grand Mosalla untuk penghormatan awam sebelum perarakan pengebumian diadakan merentasi Tehran pada hari Isnin.
Selepas itu, upacara keagamaan akan diteruskan di bandar Qom sebelum diadakan majlis penghormatan di Baghdad, Karbala dan Najaf di Iraq. Pengebumian pula dijadual berlangsung di Mashhad pada 9 Julai.






