Dua sahabat maut rempuh kerbau melintas jalan

HASRAT dua sahabat pulang ke rumah tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggang mereka merempuh seekor kerbau yang melintas jalan dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Lakai-Simpang Durian, Jelebu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 17 dan 19 tahun mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jelebu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dari arah pekan Simpang Durian menuju ke Lakai.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai gagal mengelak seekor kerbau yang sedang melintas jalan sebelum merempuh haiwan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Jelebu untuk menerima rawatan.

“Mereka disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 4.05 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Aidil Zafuan Sameon, 19, dan Muhammad Faisal Fauzan Faizal, 17.

Azizan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berhubung haiwan serta Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 berkaitan membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran di jalan raya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sub-Inspektor Abas Mohamed di talian 010-8649229 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, bapa saudara Allahyarham Muhammad Aidil Zafuan, Kharizal Hamzah, 47, berkata kali terakhir dia bertemu anak saudaranya adalah kira-kira jam 9 malam sebelum bertolak ke Terengganu bersama rombongan.

Katanya, dia menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 3 pagi sebelum bergegas pulang bersama isterinya menaiki penerbangan dari Kuala Terengganu.

“Malam sebelum bertolak, arwah sempat berjumpa saya, memeluk saya dan bertanya khabar. Arwah memang rapat dengan keluarga kami terutama anak nombor dua saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jelebu.

Kedua-dua jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lakai.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lakai, Mohd Shahrir Ramli mendakwa penduduk sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa mengenai kerbau yang berkeliaran di laluan berkenaan, namun tiada tindakan tegas diambil.

Menurutnya, kejadian hampir sama pernah berlaku apabila penduduk nyaris terbabit dalam kemalangan akibat haiwan berkenaan yang dilepaskan bebas di jalan utama.

“Malah kerbau itu juga sering menceroboh tanah milik Orang Asli berhampiran dan aduan sama sudah banyak kali dibuat oleh penduduk setempat,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img