Penunggang motosikal maut rempuh van sekolah bawa 10 pelajar

SEORANG penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah van sekolah yang membawa 10 pelajar dalam kemalangan di simpang masuk Taman Selindung Daun, Ulu Yam Baru, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van sekolah yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah Ulu Yam Baru membelok ke kanan untuk memasuki simpang perumahan Taman Selindung Daun.

“Ketika van itu sedang membelok, sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan merempuh bahagian kiri kenderaan berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang, manakala bedah siasat dijalankan hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, seorang daripada 10 pelajar berusia 13 tahun yang berada di dalam van mengalami kecederaan ringan di pipi dan tangan kiri akibat terkena serpihan cermin yang pecah sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Seramai sembilan lagi pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mt Abu di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img