Empat sekeluarga cedera parah, Honda Jazz tiba-tiba masuk simpang

EMPAT sekeluarga cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah Honda Jazz yang dipercayai tiba-tiba memasuki simpang di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, motosikal Honda C100 ditunggang pelajar lelaki SMK Seri Intan berusia 14 tahun bersama tiga pembonceng dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Machang.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Honda Jazz yang dipandu wanita berusia 30-an secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki simpang.

“Disebabkan itu, motosikal berkenaan melanggar bahagian hadapan sisi kanan Honda Jazz yang ketika itu sedang melalui laluan sahnya.

“Pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal bersama tiga pembonceng masing-masing berusia tujuh, sembilan dan 12 tahun cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Machang untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di talian 09-9751222.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img