
BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan sokongan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi kepada calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini lebih didorong oleh kekecewaan peribadi berbanding keyakinan terhadap parti itu.
Beliau berkata, Mohd Puad bebas menentukan pendirian politiknya kerana tidak lagi menjadi ahli UMNO dan tidak terikat dengan disiplin parti.
“Datuk Puad bebas untuk sokong siapa yang dia hendak sokong. Dia bukan lagi ahli UMNO, jadi dia tidak terikat dengan disiplin UMNO. Soal siapa yang dia nak sokong itu hak dia, kita tidak boleh menghalang.
“Mungkin Datuk Puad, walaupun dia bebas untuk menyatakan sokongan kepada sesiapa, dia sokong PH bukan kerana PH, tetapi mungkin kerana kekecewaan peribadi.
“Saya rasa dia sokong PH itu bukan sangat tentang calon, tetapi lebih kepada dia rasa kecewa sebab dia tidak dapat apa yang dia hendak. Just as simple as that. Orang pun faham,” katanya lapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Jelajah Barisan Nasional (BN) bersama calon DUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim di Serom, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy menyatakan sokongan penuh kepada calon BN di DUN Rengit, Zaidi Japar yang disifatkannya sebagai calon terbaik.
Katanya, beliau mengenali Zaidi sejak sekian lama dan yakin calon itu mempunyai rekod perkhidmatan yang baik serta sentiasa dekat dengan masyarakat.
Pada Sabtu, Mohd Puad secara terbuka menyatakan sokongan kepada PH bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri pada PRN Johor.
Menerusi poster kempen yang dimuat naik di laman Facebooknya, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti.
Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan “selamat maju jaya” kepada Mohd Puad.
Setiausaha Agung UMNO itu menegaskan, BN tidak mahu terheret dengan polemik politik, sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada tawaran yang dibawa kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen.
“Selamat maju jaya. Yang paling penting bagi penyokong Barisan Nasional, kita fokus.
“Kita tidak akan terbawa-bawa dengan mainan politik murahan. Kita hanya fokus kepada menawarkan apa yang kita hendak lakukan dan laksanakan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, BN mahu mengetengahkan pelan ekonomi yang digagaskan gabungan itu serta memastikan agenda Maju Johor 2026-2030 dapat dilaksanakan sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri.
“Kita dah arahkan supaya semua jentera Barisan Nasional tak perlu menyerang peribadi, jangan memaki hamun, fokus kepada tawaran kepada rakyat. Itu saja,” katanya.






