Puad Zarkashi tidak fikir lagi masuk parti mana, hadir program PH kerana Anwar sahabat lama

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang keluar UMNO minggu lalu, hadir sebuah program Pakatan Harapan (PH) di Felda Ulu Tebrau, di Johor Bahru malam tadi.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan beliau memberi sokongan kepada calon PH di DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, Mohamad Yazid Bakri.

Pada program Dialog Terbuka Belia Johor di Ulu Tebrau semalam, Mohd Puad dilihat bersalaman dan berpelukan dengan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ahli Parlimen UMNO Batu Pahat itu juga dilihat duduk bersebelahan Anwar pada majlis berkenaan dan selepas dijemput berucap di atas pentas, beliau memaklumkan hadir program itu sebagai sokongan kepada calon PH DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.

Mohd Puad yang mengumumkan tidak mempertahankan kerusi DUN Rengit sebelum BN menamakan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Zaidi Japar bertanding kerusi itu pada PRN ini, berkata, bukan senang hendak memujuk beliau hadir program berkenaan.

“Bukan senang nak pujuk saya, saya datang sebab sahabat lama. Ringkas sahaja, saya naik ke pentas PH ni sebab PH adalah Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) pun Kerajaan Perpaduan.

“Tak ada salahnya, apatah lagi saya bukan lagi ahli UMNO,” katanya mengakui menerima pelbagai kecaman sejak membuat hantaran menyokong calon PH Rengit, termasuk dilabel mengkhianati perjuangan UMNO.

Bagaimanapun tegasnya, beliau akan terus memperjuangkan keberanian politik supaya ia seimbang di Johor.

“Ada hina saya kata ‘kalau masuk DAP lagi senang’. Tak apalah, yang penting saya akan teruskan keberanian politik supaya politik seimbang di Johor ini,” katanya yang mengumumkan keluar UMNO pada 25 Jun lalu.

Ditanya mengenai kehadirannya di program PH dan sokongan yang ditunjukkan kepada calon PH akan menerima kecaman, Mohd Puad berkata, beliau sudah bersedia kerana sudah biasa dikecam.

“Saya sudah biasa dan saya sudah cukup bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan segala-galanya kerana saya memang seorang ahli politik,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Puad mendedahkan telefon bimbitnya dirampas pihak polis bagi siasatan lanjut susulan 153 laporan polis yang dibuat di seluruh negara terhadapnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan Institusi Diraja dengan pembubaran DUN Johor dan pemilihan calon bagi PRN Johor Ke-16.

Beliau yang baharu menerima semula telefon bimbitnya pada kelmarin turut memaklumkan sudah dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan.

“Saya sudah dipanggil polis dalam dua tiga hari selepas laporan polis dibuat ke atas saya. Saya beri keterangan 10 minit sahaja sebab saya akan jawab di mahkamah nanti,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img