
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik pihak yang menyatakan tidak mahu duduk semeja dengan DAP sambil menyifatkan ia satu perbuatan yang kurang baik.
“Jadi orang besar, ini Cina DAP tak boleh duduk satu meja. Cakap ini tak baik. Lu (awak) jaga orang punya perasaan. Orang Cina mahu pilih DAP, DAP lah. You (awak) sakit hati apa pasal? You ingat you hero (wira) kah?.
“You ingat you ada kuasa kah? Oh ini parti aku tak mau, ini saja boleh. Wah, you ingat you siapa? Saya tak setuju cara ini. Kita mesti raikan. Apa salah DAP?,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kampung Jawa, Segamat hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee En Xiang dan Kemelah, Mohd Afif Abd Hamid.
Anwar yang juga Perdana Menteri turut menafikan tuduhan sesetengah pihak beliau mengikut telunjuk DAP dan adalah seorang individu yang boleh dibeli.
Presiden PKR itu juga menyatakan beliau telah melalui pelbagai episod buruk termasuk pernah masuk penjara, selain tidak pernah menjual harga diri.
“Saya ditendang dipukul pun sudah kena, masuk jel pun sudah. You (awal) ingat saya mahu jual diri kah? Saya mahu jaga negeri ini. Saya mahu jaga Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan saya mahu negeri ini maju,” katanya.
Anwar berkata, sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, pelbagai perkara besar telah dilaksanakan oleh kerajaan termasuk menyatu padukan rakyat negara ini.
“Perkara besar kita buat. Apa? Nombor satu, kita cuba bawa semua rakyat bersatu. Kita ingatkan orang Melayu, dia mahu sekolah-sekolah agama, sekolah Islam kita tingkatkan, kita bantu.
“Orang Cina, dia kata bagi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bagi peluang masuk universiti. Sejak merdeka, first time (pertama kali) kita bagi kepada UEC. Orang India, peruntukan sekolah Tamil, kemudahan kita tingkatkan. Ini kenyataan,” katanya.






