Kerajaan teruskan agenda rumah mampu milik pejawat awam – Anwar

KERAJAAN Persekutuan kekal komited memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa dipelihara, melalui agenda penyediaan rumah mampu milik bagi meringankan beban kos sara hidup golongan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah proaktif itu juga, bertujuan mengimbangi peningkatan harga hartanah semasa, selain memastikan setiap individu yang berkhidmat untuk negara mempunyai akses kepada kediaman sendiri.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan bercadang mengoptimumkan penggunaan tanah milik agensi kerajaan yang terbiar atau tidak digunakan untuk dibangunkan sebagai projek perumahan mampu milik.

“Tanah Kastam, tanah Imigresen, tanah sekolah kalau lebih, kita buat rumah yang kos murah, sekurang-kurangnya untuk penjawat awam,” kata beliau ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kampung Jawa di Segamat hari ini.

Turut hadir Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee En Xiang dan Kemelah, Mohd Afif Abd Hamid.

Anwar berkata, inisiatif itu bukan sekadar perancangan, malah sebahagian daripadanya telah mula dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Johor.

Beliau berkata setakat ini, 1,700 unit kediaman mampu milik kos rendah telah diluluskan dan memulakan proses pembinaan di Johor, bagi memastikan kakitangan awam di negeri itu tidak terbeban dengan isu pemilikan rumah.

Program Ramah Mesra Bersama PMX itu adalah sebahagian daripada siri jelajah Anwar bersempena dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.

Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img