Peranan AIM bantu penduduk luar bandar terus disokong – Anwar

KERAJAAN terus memberi sokongan kuat kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di seluruh negara bagi memastikan tiada rakyat terutamanya luar bandar tercicir dalam menerima program bantuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan AIM membantu mengangkat martabat organisasi itu membantu rakyat sebagai menjadi antara program bantuan terbaik dunia.

“Orang banyak cakap nak tolong, pergi mana-mana pun nak tolong, ditambah masa kempen pilihan raya semua nak tolong rakyat. Tapi akhirnya kita tengok tak sampai atau sampai pun sedikit (bantuan).

“Amanah Ikhtiar ini kita belanja daripada awal, saya ingat kali pertama RM200 juta itu tanpa pulangan.

“Yang kita buat belanja pelaburan puluh bilion (ringgit), buat lebuh raya bilion, tapi untuk orang kampung, (AIM) inilah usaha (membantu),” katanya berucap pada Program Kenduri Rakyat Bersama PMX di Vila Kemboja, Semerah di Batu Pahat hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Aljunid dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan juga dapat digunakan untuk membantu mereka semula menerusi program yang ada melalui AIM.

Beliau menambah, kehadirannya ke program AIM dengan kerap berbanding perdana menteri lain kerana membantu rakyat menerusi agensi itu.

“Orang lain dia pilih apalah sangat (hadir program) Amanah Ikhtiar, orang kampung ini, apa nak sibuk sangat membantu mereka.

“Sejak saya jadi Perdana Menteri, sudah lapan kali (hadiri program). Mana ada Perdana Menteri yang menghadiri program Amanah Ikhtiar lapan kali.

Anwar juga berkata, setiap kali menghadiri program AIM, kerajaan akan menambah jumlah peruntukan kepada organisasi itu untuk membantu rakyat.

“Sebab apa Amanah Ikhtiar dalam dua tiga tahun Kerajaan MADANI ini kita (boleh) tingkatkan (jumlah peruntukan) sebegini rupa? Sebab kita bagi tumpuan.

“Tiap kali jumpa, tambah RM20 juta. Belanjawan, tambah RM50 juta,” katanya.

Selain AIM, Anwar juga berkata, kerajaan membantu memperbaiki kuarters tentera yang membabitkan jumlah peruntukan besar.

“Kuarters tentera saya minta senarai daripada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin). Ada yang paling lama diperbaiki 30 tahun lalu, ada yang 40 tahun lalu.

“Ada kuarters tentera yang kekal zaman Inggeris dulu sebelum merdeka tak dibaiki. Jadi, saya minta Kor Jurutera Tentera (untuk) belanja ratus juta ringgit tiap tahun (bagi memperbaikinya),” katanya.

Beliau turut berpandangan, kerajaan negeri dan Persekutuan seharusnya sealiran untuk memudahkan kerja dalam membantu rakyat dan melakukan pembangunan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img