Penolong Pengarah JKDM didakwa tutup siasatan demi RM15,000

TINDAKAN didakwa menerima wang tunai RM15,000 bagi menutup satu kertas siasatan berkaitan penipuan perdagangan membawa seorang Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Tertuduh, Fareez Akmal Md Yusuf, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Fareez yang bertugas di Cawangan Siasatan (Fraud Perdagangan), Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM15,000 daripada seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun sebagai dorongan untuk menutup kertas siasatan yang dikendalikannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah lot parkir di Petaling pada 26 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya yang berpendapatan RM4,500 sebulan perlu menyara isteri, dua anak serta kedua-dua ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img