JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok, minuman keras dan dadah selepas merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM7.3 juta termasuk duti dan cukai menerusi beberapa serbuan di Bintulu.
Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, empat serbuan berasingan yang dijalankan antara 17 hingga 19 Mei lalu oleh pasukan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Sibu berjaya merampas lebih 7.2 juta batang rokok serta 8,109.72 liter minuman keras.
Beliau berkata, semua barangan terbabit ditemukan disimpan di beberapa lokasi termasuk rumah, premis dan gudang kosong di sekitar Taman Seaview, Plaza Li Hua serta Jalan Bintulu-Miri.
“Rampasan terbesar dilakukan di sebuah gudang kosong di Jalan Bintulu-Miri pada 19 Mei lalu yang menemukan 5.42 juta batang rokok, 2,788.80 liter minuman keras serta dua kenderaan.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai bagi kes itu dianggarkan RM5.44 juta,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan rokok dan minuman keras bagi empat kes berkenaan dianggarkan RM7.26 juta termasuk duti serta cukai.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan tanpa kebenaran.
Dalam perkembangan sama, Norizan berkata JKDM turut membongkar cubaan menyeludup dadah jenis ganja menggunakan perkhidmatan kurier ke daerah ini.
Beliau berkata, dalam empat kes berasingan antara April hingga Mei lalu, pihaknya merampas 4.32 kilogram ganja yang dianggarkan bernilai RM129,660.
“Dua lelaki tempatan turut ditahan selepas dipercayai hadir untuk menuntut bungkusan yang mengandungi dadah berkenaan.
“Modus operandi sindiket adalah menggunakan perkhidmatan kurier dengan mengikrarkan bungkusan sebagai barang dagangan selain menggunakan maklumat penerima yang tidak wujud bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, kes dadah itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.






