JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok bernilai RM9.9 juta selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 24 Disember tahun lalu.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, kontena dari Vietnam itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan pada jam 10.40 pagi dan pemeriksaan menemukan 930 kotak bertulis Furniture (perabot).
“Daripada jumlah itu, 908 kotak didapati mengandungi 9.08 juta batang rokok putih disyaki barangan larangan bernilai RM9.9 juta termasuk duti kastam manakala 22 kotak lagi mengandungi perabot,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pencegahan JKDM Negeri di Butterworth hari ini, lapor Bernama.
Menurut Rohaizad, modus operandi sindiket itu adalah membuat pengikraran palsu dengan menyembunyikan rokok yang dipercayai untuk pasaran tempatan di dalam kotak kononnya membawa perabot.
Tambah beliau, pengimportan rokok dibenarkan namun tertakluk kepada permit import selaras kehendak di bawah Bahagian II, Jadual III Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Katanya, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti individu terlibat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.


