Kes kematian pelajar tahfiz diklasifikasi  tiada tindakan lanjut

JABATAN  Peguam Negara memaklumkan kes kematian pelajar tahfiz Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemui maut dipercayai dibunuh pada 2013 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan, hasil siasatan menyeluruh yang dijalankan mendapati tiada keterangan yang dapat mengaitkan mana-mana individu lain dengan kejadian kematian Allahyarham.

“Dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara sudah meneliti kertas siasatan bersabit kes Kok Lanas yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan kematian pelajar Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan, iaitu Allahyarham Wan Ahmad Faris.

“Siasatan lanjut dijalankan berhubung naratif yang dikemukakan oleh pihak keluarga. Dalam tempoh siasatan, seramai 84 orang saksi sudah dirakam percakapan dan sebanyak 45 sampel DNA sudah dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia.

“Hasil siasatan yang menyeluruh mendapati tiada keterangan yang dapat mengaitkan mana-mana individu lain dengan kejadian kematian Allahyarham.

“Sehubungan itu, selepas meneliti keseluruhan keterangan yang diperoleh, kita berpandangan bahawa tiada sebarang petunjuk untuk mengaitkan mana-mana individu dengan perlakuan kesalahan, khususnya di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Oleh yang demikian, dimaklumkan bahawa kertas siastaan ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi surat pemakluman bertarikh 3 Julai yang diterima peguam mewakili keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris, hari ini.

Katanya, Jabatan Peguam Negara turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh keluarga atas kehilangan Allahyarham.

SEMENTARA itu, Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, akur keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) itu.

Ibu, Ruhani Hussin, berkata pihaknya menghormati keputusan itu walaupun sekian lama menanti demi mendapatkan keadilan.

“Kami akur dan menghormati keputusan AGC yang mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA selepas hasil siasatan tidak menemui mana-mana individu yang boleh dipertanggungjawabkan atas kematian Allahyarham.

“Walaupun siasatan forensik sudah mengenal pasti terdapat tompokan darah daripada DNA individu lain pada pakaian Allahyarham, pihak berkuasa memutuskan bahawa penemuan berkenaan tidak mencukupi untuk mengenal pasti pelaku atau membuktikan penglibatan mana-mana individu dalam menyebabkan kematian Allahyarham,” katanya.

Ruhani turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan peguam yang memberikan khidmat guaman, nasihat serta komitmen tinggi dalam membantu keluarga sepanjang proses.

“Semoga Allah mengampuni, mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Wan Ahmad Faris dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat, ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

Pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris disebabkan oleh tindakan individu yang tidak dikenal pasti.

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img