PM tolak tuntutan Terengganu RM1.43 bilion bagi LPT2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya Putrajaya ‘membayar balik’ RM1.43 bilion kepada kerajaan Terengganu bagi kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebelum ini bersetuju menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) untuk menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya itu.

Katanya, mengikut arahan akaun amanah DKKP, dana itu digunakan bagi ‘program, projek dan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat’ di negeri-negeri berkaitan.

“Arahan akaun itu tidak mempunyai peruntukan berhubung pembayaran balik kepada mana-mana kerajaan negeri sekiranya projek yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan atau agensi Persekutuan dibiayai melalui akaun amanah DKKP.

“Oleh itu, tuntutan supaya Kerajaan Persekutuan membayar balik RM1.43 bilion kepada kerajaan Terengganu bagi kos pembinaan LPT2 tidak berbangkit,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen menjawab solan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu).

Anwar berkata, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan cadangan daripada kerajaan negeri Terengganu bagi program atau projek baharu di negeri itu menggunakan dana DKKP.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mendakwa Putrajaya berhutang RM1.43 bilion kepada kerajaan negeri berhubung pembinaan LPT2.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada kertas Kabinet yang memperincikan persetujuan untuk membayar balik jumlah itu kepada kerajaan negeri.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img