Penjawat awam rugi RM63,438 terperdaya tawaran kerja sambilan

SEORANG penjawat awam wanita kerugian RM63,438 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan sehingga mangsa melakukan 18 transaksi pemindahan wang dalam tempoh dua hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa berusia 43 tahun hanya menyedari dirinya ditipu selepas kesemua wang simpanannya dipindahkan ke beberapa akaun bank berbeza.

Menurut beliau, kejadian bermula pada 3 Julai lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan.

Katanya, mangsa yang berminat kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi Telegram sebelum diarahkan melaksanakan tugasan transaksi kewangan dengan jaminan menerima bayaran upah mengikut kadar yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, bagi tujuan menebus bayaran upah tersebut, suspek meminta mangsa melakukan transaksi lain secara berterusan.

“Keghairahan mengejar komisen menyebabkan mangsa melakukan sebanyak 18 transaksi pemindahan wang bermula 5 hingga 6 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, siasatan mendapati transaksi pertama dilakukan pada jam 11.32 pagi, 5 Julai melibatkan pemindahan wang sebanyak RM200 ke sebuah akaun bank.

Beliau berkata, siri transaksi berikutnya semakin meningkat sehingga mencecah ribuan ringgit, termasuk melalui kaedah imbasan kod QR.

“Secara keseluruhan, mangsa memindahkan wang ke beberapa akaun bank berbeza.

“Transaksi terakhir dilakukan secara berturut-turut pada 6 Julai antara jam 11.41 pagi hingga 12.28 tengah hari sebelum mangsa menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis pada jam 8.27 malam hari yang sama,” katanya.

Menurut beliau, kerugian yang dialami mangsa membabitkan keseluruhan wang simpanan peribadinya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai juga disaran membuat semakan nombor akaun bank menerusi portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img