PENASIHAT Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggesa pengkritik tidak menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pentas drama politik kerana Kerajaan Persekutuan berusaha keras di sebalik inisiatif itu.
Dalam sebuah video di media sosial, Tengku Zafrul berkata, JS-SEZ adalah inisiatif kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, Putrajaya mendapat persetujuan Singapura untuk mewujudkan inisiatif itu dan menarik pelaburan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta agensi berkaitan.
“Kerajaan negeri memang ada peranan dan kami menghormati sumbangannya, tetapi jangan padam peranan utama Kerajaan Persekutuan hanya kerana pilihan raya.”
Beliau berkata, hampir RM77 bilion pelaburan diluluskan, dengan 57 peratus daripadanya memasuki peringkat pelaksanaan.
“Jadi, jika anda ingin tahu sama ada (pelaksanaan) JS-SEZ perlahan atau tidak, jangan tengok dramanya. Lihat hasilnya. Kami fokus menyiapkan kerja,” kata bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini mendakwa Kerajaan Persekutuan berulang kali menangguhkan pelancaran pelan induk JS-SEZ.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu mendakwa pelan induk berkenaan adalah dokumen kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan Singapura untuk pelancaran.
Katanya, pelan induk itu telah melalui proses perundingan diperlukan dengan kerajaan Singapura dan tunggu Putrajaya melancarkannya.
Pada 2 Julai lalu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata, pembangunan JS-SEZ tidak pernah terhenti hanya kerana pelan induk itu belum dilancarkan, beliau merujuk pelbagai inisiatif dijalankan Putrajaya dan kerajaan negeri, serta hasilnya.
Keesokannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik Onn Hafiz menggunakan JS-SEZ sebagai bahan kempen PRN yang disifatkannya ‘tidak cerdik’.






