Jurujual dipenjara 10 tahun, dua sebatan tetak penunggang motosikal

SEORANG jurujual dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menetak seorang penunggang motosikal menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian amuk di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, bulan lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid terhadap Azmi Jantan, 43, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun menggunakan pisau pemotong daging, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, di sini, kira-kira jam 8.19 pagi pada 11 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga seorang eksekutif syarikat mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang bahu, tangan, jari dan pergelangan tangan kiri selain luka di kepala serta muka akibat serangan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira kecederaan kritikal dialami mangsa serta kepentingan awam.

Beliau berkata, tertuduh menggunakan pisau pemotong daging yang berpotensi membawa maut dan hanya bernasib baik kerana mangsa terselamat.

Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada perkara remeh apabila mangsa membunyikan hon kerana suspek dipercayai menghalang laluannya, namun tindakan tertuduh telah mencetuskan ketakutan kepada pengguna jalan raya lain.

Katanya, hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bagi membendung kes buli jalanan serta amukan melampau di jalan raya.

Azmi yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman diringankan dengan memaklumkan dia tidak mempunyai tanggungan selain tidak mengenali mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penunggang motosikal cedera selepas ditetak oleh penunggang lain di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah dilaporkan berkata, mangsa membunyikan hon terhadap suspek kerana dipercayai menghalang laluannya sebelum suspek berhenti dan menetak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img