SEORANG daripada dua remaja yang dilaporkan hilang di Taman Melawati dan Ukay Perdana, Ampang sejak Ahad lalu sudah pulang ke pangkuan keluarganya, manakala seorang lagi masih dikesan polis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, remaja lelaki berusia 14 tahun, N. Barath, pulang ke rumah dengan selamat malam tadi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati remaja itu bertindak meninggalkan rumah kerana tidak berpuas hati selepas ibunya menempatkannya di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga anak yatim serta remaja bermasalah.
“Remaja lelaki itu sudah pulang ke pangkuan keluarganya malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati dia tidak berpuas hati dengan tindakan ibunya meletakkannya di rumah NGO berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Barath dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Jalan Permata 9, Taman Permata, Hulu Kelang kira-kira jam 7 malam Ahad lalu untuk membawa anjing peliharaan keluarganya bersiar-siar.
Ahli keluarganya kemudian menemui anjing peliharaan itu diikat pada sebatang pokok berhampiran rumah, namun remaja terbabit gagal dikesan sebelum laporan polis dibuat.
Sementara itu, Khairul Anuar berkata, polis masih meneruskan usaha mengesan seorang lagi remaja perempuan berusia 17 tahun lima bulan, Qaseh Atika Mohd. Naim Abdullah yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Jalan UP 3/7B, Ukay Perdana.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja terbabit diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd. Anuar di talian 017-3422804.






