SEORANG warga emas orang kurang upaya (OKU) yang kudung kedua-dua kaki ditemukan maut dipercayai akibat terhidu asap tebal selepas rumah yang didiaminya di Taman Seri Mahkota Jaya, Kuantan, terbakar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, G. Vilthaliggam, ditemukan tidak bernyawa di ruang tamu rumah teres dua tingkat berkenaan selepas kebakaran berjaya dipadamkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran berlaku di tingkat bawah rumah terbabit.
“Anggota bomba pada mulanya dimaklumkan tiada penghuni berada di dalam rumah dan terpaksa memecahkan pintu hadapan untuk masuk serta mengawal kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata, api berjaya dipadamkan kira-kira jam 9.50 pagi sebelum anggota bomba melakukan pemeriksaan di dalam rumah.
“Hasil pemeriksaan menemukan mayat seorang lelaki warga emas di atas katil yang diletakkan di ruang tamu rumah berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan akibat terbakar atau melecur pada mangsa dan dia dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal ketika kebakaran berlaku,” katanya.
Mohd Razam berkata, berdasarkan maklumat keluarga, mangsa kehilangan kedua-dua kaki selepas dipotong akibat komplikasi penyakit diabetes kira-kira dua tahun lalu.
Katanya, mangsa tinggal bersama adik serta iparnya di rumah berkenaan, namun kedua-duanya tiada di rumah ketika kejadian berlaku.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.






