Polis Pulau Pinang akan lupus barang kes bernilai RM1.27 juta

POLIS Pulau Pinang akan melupuskan barang kes bernilai lebih RM1.27 juta membabitkan 565 kertas siasatan yang dirampas menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan di daerah Timur Laut antara 2010 hingga 2017 pada Jumaat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pelupusan yang dijadualkan berlangsung pada 10 Julai itu membabitkan barang kes di bawah seliaan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Beliau berkata, BSJD Timur Laut akan melupuskan barang kes daripada 218 kertas siasatan dengan nilai keseluruhan RM120,146.

“Daripada jumlah itu, ia membabitkan 15 kes kontraban, sembilan kes hiburan atau noda dan 194 kes perjudian dadu.

“BSJKD Timur Laut pula akan melupuskan barang kes berupa VCD dan DVD lucah daripada 347 kertas siasatan dengan nilai dianggarkan RM1,156,032,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, secara keseluruhan nilai barang kes yang akan dilupuskan ialah RM1,276,178.38 membabitkan 565 kertas siasatan.

Dennis berkata, semua barang kes itu adalah hasil rampasan daripada pelbagai operasi membanteras kegiatan perjudian, penjualan nombor ekor haram, maksiat dan noda, kontraban serta Op Ostrich.

“Antara barang kes yang akan dilupuskan ialah minuman keras, rokok, peralatan hiburan selain VCD dan DVD lucah.

“Kesemua barang kes berkenaan telah memperoleh perintah pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Beliau berkata, pelupusan barang kes merupakan sebahagian daripada proses penting dalam pengurusan penyiasatan bagi memastikan stor simpanan barang kes sentiasa berada dalam keadaan teratur dan selamat.

Katanya, langkah itu juga dapat mengelakkan risiko penyalahgunaan barang kes selain mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Proses ini mencerminkan komitmen berterusan polis dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img