PEMBATALAN pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bukan sekadar isu teknikal atau pentadbiran semata-mata, malah ia mampu memberi kesan langsung terhadap persiapan pilihan raya serta kestabilan gabungan pembangkang.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, keadaan ini turut menguji keupayaan kepimpinan PN dalam menyelesaikan kemelut dalaman di samping memastikan kesinambungan organisasi terus terpelihara.
‘’Dari sudut landskap politik, isu tersebut berisiko menjejaskan keyakinan para penyokong serta membuka ruang kepada perebutan pengaruh dalam kalangan parti komponen,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.
Bagaimanapun kata beliau, impak sebenar kelak tetap bergantung pada asas keputusan ROS, proses rayuan yang dikemukakan, serta sejauh mana kepimpinan PN mampu bertindak secara kolektif.
Katanya, untuk rekod, asas di di sebalik keputusan RoS itu berpunca daripada isu pematuhan Perlembagaan PN, termasuk dakwaan bahawa parti Bersatu tidak diberi hak menyertai mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai 2026.
Dr.Sivamurugan berkata, pembatalan PN mencetuskan persoalan tentang siapa yang akan mewarisi kekuatan politik gabungan itu.
‘’Bersatu perlu membina semula pengaruhnya, Pas berpeluang mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa utama pembangkang, manakala Wawasan pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin boleh muncul sebagai alternatif kepada bekas penyokong Bersatu yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan lama.
‘’Namun, cabaran terbesar ialah bagaimana parti-parti ini mengurus kerusi, jentera dan sokongan pengundi tanpa satu payung bersama. PN mungkin sudah tiada sebagai gabungan berdaftar, tetapi perebutan untuk mewarisi undi PN baru sahaja bermula,’’ katanya
Beliau berkata, ketika ini bukan lagi Pas lawan Bersatu, tetapi adakah Wawasan mampu mengambil sebahagian daripada pengundi dan pemimpin Bersatu, sementara Pas membina dominasi sendiri?
‘’Ini menjadikan krisis PN bukan sekadar kehilangan sebuah gabungan, tetapi kemungkinan bermulanya penyusunan semula politik Melayu menjelang PRU16,’’ katanya.





