PERSATUAN Bolasepak Mesir (EFA) menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat mutu pengadilan dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Mesir tewas 2-3 kepada Argentina.
Menurut EFA, beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil dari Perancis, Francois Letexier bersama pasukan pengadilnya didakwa memberi kesan besar terhadap keputusan perlawanan sehingga menafikan peluang Mesir melangkah ke suku akhir.
Dalam kenyataan dikeluarkan badan induk itu, Presidennya, Hany Aburida berkata, pihaknya turut menggesa FIFA menggugurkan barisan pengadil terbabit daripada mengendalikan baki perlawanan kejohanan sehingga siasatan selesai.
Beliau mendakwa terdapat beberapa keputusan yang tidak konsisten, termasuk layanan berbeza terhadap kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan berlangsung.
Kontroversi utama membabitkan pembatalan gol pertama Mostafa Ziko selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan kekasaran terhadap pertahanan Argentina, Lisandro Martinez, ketika gerakan jaringan itu bermula.
Bagaimanapun, Ziko sekali lagi menemui sasaran tidak lama kemudian untuk memberikan Mesir kelebihan 2-0, sekali gus meletakkan skuad The Pharaohs di landasan terbaik mencipta sejarah mara ke kelompok lapan terbaik.
Argentina kemudian mempamerkan kebangkitan dramatik apabila Cristian Romero dan Lionel Messi berjaya menyamakan kedudukan sebelum Enzo Fernandez muncul wira dengan gol kemenangan pada masa tambahan.
EFA turut mempertikaikan kegagalan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Mesir apabila Alexis Mac Allister didakwa menarik Hamdy Fathy dalam kotak penalti sebelum Argentina menghasilkan jaringan kemenangan.
Menurut badan itu, beberapa rakaman penting dipercayai tidak diberikan penelitian sewajarnya oleh pegawai VAR walaupun insiden terbabit boleh mempengaruhi keputusan perlawanan.
“Kami meminta FIFA menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua pegawai perlawanan termasuk pasukan VAR kerana terdapat beberapa keputusan yang jelas menjejaskan hak pasukan kebangsaan Mesir,” menurut kenyataan EFA.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan turut menyuarakan rasa kecewa terhadap pengadilan sambil menyifatkan pasukannya tidak menerima layanan yang adil sepanjang perlawanan.
“Saya percaya pemain telah memberikan segala-galanya, tetapi beberapa keputusan yang dibuat amat mengecewakan. Kami merasakan layanan yang diterima hari ini tidak mencerminkan semangat permainan yang adil,” katanya.
Beliau turut membayangkan kemungkinan terdapat faktor lain yang mempengaruhi perjalanan perlawanan, selain mendakwa Argentina sebagai juara dunia menikmati kelebihan tertentu dalam aksi berkenaan.






