Hentikan perolehan pertahanan dari Norway, had umur persaraan kekal 60 antara 4 pengumuman penting kerajaan

MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan dan memutuskan empat perkara termasuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway dan menetapkan had umur persaraan kekal kepada 60 tahun.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dua lagi keputusan kerajaan adalah meluluskan pelanjutan tempoh kelulusan pelepasan cukai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) untuk tempoh 10 tahun dan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.

Berikut adalah teks penuh kenyataan Jurucakap Kerajaan MADANI:

KENYATAAN MEDIA KEPUTUSAN MESYUARAT JEMAAH MENTERI 8 JULAI 2026

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan beberapa perkara dan membuat keputusan seperti berikut:

  1. Pelepasan Cukai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT)

Jemaah Menteri telah meneliti isu pelepasan cukai TAR UMT serta menghargai peranan khas universiti tersebut dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.

Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri telah meluluskan pelanjutan tempoh kelulusan pelepasan cukai TAR UMT untuk tempoh 10 tahun.

Walau bagaimanapun, TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa, termasuk syarat seperti mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun, selaras dengan keperluan subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

  1. Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam)

YAB Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman tersebut tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.

Kenyataan lanjut berhubung keputusan ini akan diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).  

  1. Perolehan Pertahanan dari Norway

Jemaah Menteri juga telah meneliti isu terkini tindakan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway.

  1. Had Umur Persaraan Kekal 60 Tahun

Kerajaan telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur persaraan buat masa ini. Oleh yang demikian, had umur persaraan bagi penjawat awam kekal pada umur 60 tahun.

FAHMI FADZIL JURUCAKAP KERAJAAN 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img