GURU agama dan seorang pelajar parah, manakala dua lagi cedera termasuk patah kaki selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah, Melaka, hari ini.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.24 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, akibat kemalangan pada jam 3.24 petang itu, guru lelaki berusia 24 tahun bersama seorang pelajar yang duduk di bahagian penumpang belakang tersepit di dalam kereta Proton Saga.
“Guru terbabit dan pelajar berusia 16 tahun yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam tempoh kurang 10 minit.
“Sementara itu, pelajar berusia 15 tahun yang mengalami patah kaki serta seorang lagi pelajar berusia 16 tahun yang cedera akibat hentakan pula berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke sekolah agama di Durian Daun, Masjid Tanah selepas menyertai kejohanan ping pong Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng, hari ini.
Zulkhairani berkata, operasi itu bukan sahaja berjaya menyelamatkan dua mangsa yang tersepit, malah anggota bomba turut menggagalkan cubaan individu dipercayai orang awam yang mahu mencuri wang serta barangan peribadi milik guru terbabit ketika operasi menyelamat dijalankan.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.38 petang.






