Malaysia catat kejayaan membanggakan di MIFA 2026, raih nilai pelaburan RM249.2 juta

MALAYSIA berjaya mencatatkan pencapaian membanggakan apabila meraih nilai pelaburan dan jualan berjumlah RM249.2 juta menerusi penyertaan negara di Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026, sekali gus melepasi sasaran awal RM100 juta yang diumumkan sebelum ini.

Pencapaian luar biasa itu membuktikan keberkesanan strategi kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab industri animasi dan kandungan kreatif yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

PENYERTAAN negara di Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026 berjaya meraih nilai pelaburan dan jualan berjumlah RM249.2 juta. GAMBAR: FINAS Malaysia

Kementerian Komunikasi memaklumkan, penyertaan Malaysia diterajui oleh kementerian itu dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta melibatkan 11 syarikat animasi tempatan yang mempromosikan harta intelek (IP), kepakaran kreatif serta keupayaan industri animasi negara kepada pemain industri global.

Menurut kementerian itu, sepanjang penyertaan di MIFA 2026, syarikat-syarikat Malaysia berjaya memeterai pelbagai potensi kerjasama merangkumi penerbitan bersama (co-production), perkhidmatan animasi, pelaburan kandungan kreatif, pengedaran IP, pembangunan projek baharu serta kemasukan produksi antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI).

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kandungan kreatif dan animasi Malaysia semakin mendapat pengiktirafan serta kepercayaan di pasaran antarabangsa, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur dan rakan strategik global terhadap bakat, kreativiti serta ekosistem industri kreatif negara,” kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Komunikasi hari ini.

Kementerian Komunikasi turut komited untuk terus memperkukuh pembangunan industri kreatif negara melalui kerjasama strategik dengan agensi dan pemain industri, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan sektor ekonomi kreatif sebagai antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img