KERAJAAN MADANI hari ini memperkukuh komitmen dalam melindungi keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat melalui Sesi Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion) Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri yang berlangsung di Putrajaya.
Sesi persidangan itu yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Menurut satu kenyataan, kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Komunikasi (KK) dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) ini memfokuskan kepada pembangunan garis panduan kandungan serta pelaporan selamat dalam persekitaran media dan platform digital.
Katanya, sesi dialog yang julung kali diadakan ini berjaya menghimpunkan kepimpinan kerajaan bersama ketua pengarang, badan industri dan pengamal media serta rakan strategik.
“Kolaborasi ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental serta keselamatan awam secara holistik, merentas kementerian dan sektor.
“Dalam era digital hari ini, komunikasi menerusi media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, mengurangkan stigma serta menggalakkan masyarakat tampil mendapatkan bantuan demi kesejahteraan bersama,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan KKM dan KK hari ini.
Sesi tersebut turut menyaksikan pemeteraian Ikrar Media Malaysia oleh wakil organisasi media dan badan kewartawanan iaitu Majlis Media Malaysia (MMM), Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) serta Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ).
“Langkah ini menjadi lambang komitmen kolektif industri media dalam memperkukuh amalan pelaporan yang selamat, beretika dan bertanggungjawab berkaitan isu tingkah laku bunuh diri,” kata kenyataan itu lagi.
Sesi ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) melalui pendekatan mengutamakan kepentingan kesihatan awam, selari dengan hasrat pimpinan kerajaan menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera dalam semua aspek, termasuk kesihatan mental.
Kerajaan turut menegaskan sokongan berterusan terhadap amalan pelaporan media yang mematuhi prinsip keselamatan, empati dan tanggungjawab sosial, tanpa menjejaskan kebebasan media sebagai tonggak penting masyarakat demokratik.


