SEORANG lelaki berusia 65 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan selepas disyaki mengugut seorang pempengaruh media sosial ketika mangsa sedang membuat siaran langsung di TikTok di Kampung Sri Langkas, Puchong, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika pengadu bersama beberapa rakannya sedang membuat siaran langsung di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ketika sesi siaran langsung itu berlangsung, beberapa lelaki tempatan datang dan melarang pengadu daripada membuat rakaman di lokasi terbabit.
“Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Rahim Bai kemudian mengeluarkan ugutan terhadap pengadu dengan mengatakan bahawa sekiranya rakaman tersebut menjadi tular, dia akan ‘memecahkan muka’ pengadu.
“Pengadu berasa takut akibat ugutan tersebut sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, Wan Azlan berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun kira-kira jam 4.20 petang semalam di sekitar Subang Jaya.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke mahkamah dan polis memperoleh perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Julai bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.






