KERAJAAN Persekutuan terpaksa menanggung jumlah keseluruhan hutang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM51.4 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, setakat 30 Jun 2026, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1MDB termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi, serta komitmen lain.
Menurut beliau, di samping itu, kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.
Katanya, Sukuk ini meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion, yang akan matang pada tahun 2039.
“Ini bermakna, secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion.
“Setakat ini, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion. Sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada pada masa hadapan, Kerajaan masih terpaksa menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi tersebut,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah keseluruhan hutang 1MDB ditanggung dan sudah dibayar kerajaan, selain dana serta aset diseleweng yang sudah diraih semula.
Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, kerajaan terus mempergiat usaha mendapatkan semula aset-aset 1MDB.
Menurut beliau, antara tindakan yang diambil adalah pendakwaan jenayah dan sivil terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di mana bagi kes 1MDB, Mahkamah Tinggi pada 25 Disember 2025 telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda sebanyak RM11.38 bilion selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.
Selain itu, katanya, saman sivil terhadap isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan kembali USD380 juta ganti rugi berhubung dana dari 1MDB yang digunakan untuk membeli barangan mewah termasuk beg tangan dan barangan kemas.
Tambahnya, kerajaan turut mengambil langkah pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Low Taek Jho atau Jho Low, ahli perniagaan yang menjadi dalang utama penyelewangan 1MDB, dengan nilai tuntutan sivil bernilai USD3.78 bilion.
Chin Tong berkata, kerajaan turut mengenakan saman sivil terhadap Tarek Obaid dan Patrick Mahoni yang terlibat kes penyelewangan 1MDB di mana Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland turut menjatuhkan hukuman terhadap kedua-duanya serta mengarahkan bayaran ganti rugi USD1.75 bilion kepada 1MDB.
Katanya lagi, tindakan saman sivil turut diambil terhadap pelbagai institusi kewangan antarabangsa yang terlibat dalam penyelewangan dana 1MDB.
Walau bagaimanapun menurut beliau, memandangkan sebahagian besar usaha pemulihan yang bernilai signifikan telah berjaya direalisasikan, tidak mungkin pemulihan dana atau aset masa hadapan mencukupi untuk menampung keseluruhan baki obligasi 1MDB dan sehubungan itu, kerajaan dijangka perlu menanggung sebahagian besar baki liabiliti bersih yang dianggarkan berjumlah RM20.1 bilion.
Beliau berkata, hakikatnya, skandal 1MDB bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada Kerajaan, malah telah menjejaskan reputasi dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.
Isu ini, kata beliau, mendapat liputan meluas media global, mencetuskan siasatan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan di beberapa negara serta melibatkan pelbagai prosiding mahkamah rentas sempadan.
Kata Chin Tong, keadaan ini telah memberi kesan negatif terhadap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sistem tadbir urus, integriti institusi awam dan pengurusan kewangan negara.
Reputasi negara yang terjejas turut memberi cabaran kepada usaha Kerajaan untuk memperkukuh keyakinan pelabur, meningkatkan daya saing ekonomi serta mengekalkan kepercayaan pasaran terhadap institusi dan dasar fiskal negara, ujarnya dalam jawapan lisan itu.
“Atas sebab itu, Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha sedaya upaya memperkukuh tatakelola baik pentadbiran negara bagi memulih semula keyakinan dunia terhadap Malaysia.
“Contohnya, kita telah berjaya mencipta prestasi pelaburan diluluskan dan perdagangan tertinggi dalam sejarah serta kedudukan indeks daya saing dunia yang bertambah baik,” jelas beliau.





