Onn Hafiz beri jaminan Pas tiada dalam kerajaan negeri andai beliau jadi MB

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan Pas tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sekiranya parti komponen itu kembali memerintah dan beliau dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Menurut beliau, rakyat Johor perlu tahu bahawa Pas sama sekali tidak akan menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan ‘dalam apa jua keadaan sekali pun’.

“Saya mahu perkara itu jelas,” katanya, lapor Sin Chew.

Onn Hafiz berkata, dakwaan Pas akan menjadi sebahagian kerajaan negeri hanyalah naratif politik bertujuan mengelirukan masyarakat Cina di Johor, menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Beliau turut menafikan telah bersetuju memperuntukkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan kepada Pas sebagai pertukaran untuk parti berkenaan bertanding 11 kerusi sahaja pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Johor mengambil maklum BN bertembung dengan Pas di 11 kerusi tersebut, sambil menyatakan situasi itu bukti tiada sebarang bentuk kerjasama wujud dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Adakah anda nampak saya berkempen di Maharani atau Kahang dan mana-mana DUN lain ditandingi Pas?. Saya sendiri turun ke sana untuk berkempen bagi calon BN,” katanya.

Awal minggu ini, calon DAP bagi Skudai, J Kartiyaini menyeru BN mendedahkan sama ada telah memperuntukkan jawatan ADUN lantikan kepada Pas sebagai sebahagian persefahaman politik secara senyap pada PRN Johor.

Malam tadi, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sedia menyokong BN membentuk kerajaan Johor sekiranya gabungan itu gagal memperoleh majoriti mudah.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, Pas juga tidak akan meminta jawatan Menteri Besar Johor mahu pun Exco kerajaan negeri.

56 DUN menjadi rebutan dengan majoriti mudah menubuhkan kerajaan adalah 29 kerusi. BN menang 40 DUN pada PRN lalu yang diadakan pada 2022.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img