KJ dakwa Onn Hafiz diserang kerana beliau aset besar BN, ancaman kepada PH

TINDAKAN beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyerang kepimpinan Barisan Nasional (BN) terutama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi seolah-olah menggambarkan mereka menjadi ancaman kepada parti terbabit.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Onn Hafiz adalah antara aset terbesar BN sejak memimpin kerajaan negeri Johor selama empat tahun lalu, menyebabkan parti lawan menjadikannya sasaran serangan pada kempen kali ini.

“Dia (pemimpin PH) terpaksa buat macam itu (menyerang) Onn Hafiz yang mentadbir dengan baik selama empat tahun, ada perancangan jelas dan wawasan yang begitu berkesan untuk masa depan Johor.

“Jadi daripada awal lagi, apabila PH membuat analisis bagi mengetahui kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (SWOT), mereka rasa kalau mahukan kempen memberi kesan besar, perlu serang aset yang terbesar iaitu Menteri Besar.

“Tetapi saya rasa, lama-kelamaan perkara ini akan jadi ‘backfire‘ (memakan diri) mereka. Sebab mungkin dalam satu dua ceramah tak mengapa, tetapi jika setiap hari serang Menteri Besar, orang akan kata Menteri Besar kita ini tak ada cacat cela pun.

“Tidak ada kesilapan besar dilakukannya (Onn Hafiz), jadi kenapa buat banyak serangan terhadapnya,” katanya selepas program ‘Lunch Hour With KJ vs NS‘ yang dihadiri calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri di Parit Besar, Batu Pahat hari ini.

Sementara itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mengingatkan PH bahawa UMNO dan BN tidak pernah menghalang sesiapa untuk membuat kebaikan kepada rakyat.

Katanya, pemimpin PH tidak perlu menyalahkan BN atas kegagalan kerajaan melaksanakan apa yang dijanjikan sebelum pilihan raya.

“Walaupun hari ini kita terpaksa berkawan dengan mereka, tetapi jangan lupa siapa yang menabur janji manis yang tak dapat dilaksanakan sehingga kini.

“Itulah kegagalan mereka tetapi kejayaan kita boleh lihat di Johor. Johor boleh hantar isyarat kepada seluruh negara, kerana kita tidak bergabung dengan mana-mana parti. Kita mentadbir Johor sebagai kerajaan BN,” katanya.

Mengenai pengundi muda, Khairy berkata, BN mempunyai pendekatan tersendiri terutamanya pengundi kali pertama berusia 18 tahun dan yang berusia 20-an, yang mana golongan ini tidak merasai kejayaan BN ketika menerajui kerajaan sebelum ini.

“Bukan janji tetapi kepada golongan ini yang tidak mengenali sejarah BN, kita akan memperjuangkan hala tuju mereka dengan berusaha menyediakan beberapa inisiatif terbaik seperti peluang pekerjaan dan memiliki rumah serta bantuan untuk melanjutkan pengajian kepada mereka,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img