Malaysia perkukuh agenda AI berdaulat, teknologi kuantum menerusi kerjasama NACSA, MCMC dan IBM

MALAYSIA melakar satu lagi langkah strategik dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju ekonomi digital serantau apabila kerajaan menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama IBM Malaysia Sdn Bhd bagi meneroka pembangunan kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta teknologi pengkomputeran kuantum.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena perasmian Bulan Keselamatan Negara 2026 yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

MCMC dalam kenyataan berkata, kerjasama strategik berkenaan membuka laluan kepada penubuhan National Quantum and Artificial Intelligence Centre of Excellence (NQAIC) yang dicadangkan sebagai platform nasional untuk mempercepat inovasi, memperkukuh keupayaan negara serta mempersiapkan Malaysia menghadapi era teknologi generasi baharu.

Menurut suruhanjaya itu, inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi jangka panjang negara untuk membangunkan keupayaan AI dan teknologi kuantum yang dipercayai, selamat serta berteraskan kepentingan nasional.

“Selain memperkukuh daya tahan digital negara, kerjasama tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan, penyelidikan berimpak tinggi dan pertumbuhan ekonomi digital yang mampan.

“Pusat kecemerlangan yang dicadangkan itu bakal menjadi hab kerjasama melibatkan kerajaan, institusi pengajian tinggi, industri serta rakan strategik bagi memudah cara perkongsian ilmu, pembangunan kepakaran, penyelidikan dan inovasi dalam bidang AI serta teknologi kuantum,” kata kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini.

MoU berkenaan menggariskan tiga bidang kerjasama utama, iaitu pembangunan ekosistem, tadbir urus dan keselamatan yang dipercayai serta pembangunan inovasi, keupayaan dan bakat.

Menurut MCMC, bagi pembangunan ekosistem, semua pihak akan meneroka penubuhan NQAIC melalui kerjasama rentas sektor yang mampu mengukuhkan landskap inovasi negara serta menggalakkan pembangunan dan penggunaan AI serta teknologi kuantum secara bertanggungjawab.

Dalam aspek tadbir urus dan keselamatan pula, katanya, kerjasama itu memberi fokus kepada pembangunan pendekatan AI dan teknologi kuantum yang selamat, berdaya tahan dan selaras dengan keutamaan nasional, sekali gus memperkukuh daya tahan digital negara ketika teknologi tersebut terus berkembang pesat.

Sementara itu, bagi aspek pembangunan inovasi kata MCMC, keupayaan dan bakat memberi penekanan kepada perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal, penyelidikan, pembangunan modal insan serta pemanfaatan kepakaran dan amalan terbaik di peringkat global.

“Kerjasama strategik ini turut berpaksikan prinsip berkecuali terhadap teknologi, tadbir urus yang dipercayai, inovasi bertanggungjawab dan keterbukaan kepada kerjasama strategik.

“Pendekatan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk membangunkan keupayaan digital yang bukan sahaja meningkatkan daya tahan negara, malah memastikan manfaat teknologi baharu dapat dinikmati oleh kerajaan, industri dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Menurut MCMC, ketika AI dan teknologi kuantum muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa depan serta daya saing strategik dunia, Malaysia terus memperkukuh ekosistem digital yang mengimbangi inovasi dengan aspek keselamatan, kepercayaan dan keterangkuman.

Melalui kerjasama antara NACSA, MCMC dan IBM ini, Malaysia meletakkan asas yang kukuh untuk mempertingkat keupayaan dalam teknologi sempadan, mengukuhkan daya tahan digital negara serta memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam pembangunan AI berdaulat, inovasi kuantum dan infrastruktur digital yang selamat,” kata suruhanjaya itu.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img