Kerajaan kaji tindakan terhadap Meta gagal kekang akaun palsu – Fahmi

KERAJAAN menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti langkah yang akan diambil termasuk dari segi perundangan terhadap syarikat gergasi media sosial milik Meta sekiranya mereka terus gagal mengekang kewujudan akaun palsu, terutamanya melibatkan institusi Raja-Raja Melayu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, terdapat beberapa langkah yang akan diteliti dan berharap pihak Meta menyahut seruan untuk bekerjasama dengan MCMC bagi memastikan platform itu lebih selamat untuk pengguna di negara ini.

“Kita telah panggil pihak Meta kerana banyak daripada akaun palsu ini berlaku dalam platform Facebook … tetapi dalam platform lain seperti TikTok, Instagram pun wujud. Namun paling banyak, majoritinya di platform Facebook.

“Saya telah memberikan teguran kepada pihak Meta, tetapi mereka seolah-olah tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan saya sejujurnya sangat kesal dengan kegagalan pihak Meta, khususnya pasukan yang mengurus Facebook untuk memahami bahawa institusi Raja-Raja di Malaysia adalah satu institusi yang sangat penting.

“Ia ada dalam Perlembagaan dan wajib dihormati termasuk oleh platform antarabangsa seperti Facebook. Untuk mengambil tindakan perundangan itu, saya anggap sebagai pilihan terakhir, tetapi kita sudah hampir ke pilihan akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin serta ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan sedang meneliti beberapa langkah termasuk tindakan perundangan menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian ONSA yang dijangka diwartakan dalam masa terdekat sekiranya platform terbabit terus gagal mengekang kewujudan akaun palsu dan kandungan scam atau penipuan yang menggunakan nama Raja-Raja Melayu.

“Di bawah akta ini, peruntukan termasuk denda hingga RM1 juta dan denda harian RM100,000, selain penalti yang boleh mencecah RM10 juta. Jadi, kita mahu platform seperti Facebook memberikan kerjasama yang lebih baik untuk memastikan ia selamat digunakan rakyat Malaysia,” katanya.

Fahmi berkata, berdasarkan pemantauan MCMC serta aduan awam, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja lebih 15,000 akaun palsu dikesan menggunakan nama 26 kerabat diraja dan jumlah itu disifatkan sangat besar.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan kandungan yang telah diminta diturunkan daripada pelbagai platform media sosial pula melebihi 230,000 dengan lebih 90 peratus daripadanya melibatkan judi dalam talian dan scam. 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img