Polis tumpaskan sindiket edar katrij vape dadah ke Indonesia

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM152,400 selepas menumpaskan sindiket pengedaran katrij rokok elektronik (vape) disyaki mengandungi cecair dadah ke Indonesia dalam serbuan Op Pijat di Meru dan Kajang pada 1 Julai lalu.

Menerusi dua serbuan itu juga, polis menahan lapan warga asing terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 40 tahun yang terlibat dalam sindiket itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah di negara ini sebelum diproses dan dibungkus semula untuk dihantar ke negara jiran.

“Modus operandi sindiket itu menjadikan rumah kampung di kawasan pendalaman sebagai lokasi untuk proses pembungkusan dadah.

“Seterusnya penghantaran dibuat melalui jalan laut dengan menggunakan bot ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Hussein memberitahu, pihaknya merampas 500 peket plastik mengandungi katrij disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 4.98 kilogram (kg) dan lapan botol plastik kecil disyaki mengandungi cecair dadah jenis sama seberat kira-kira 197 gram.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada lapan suspek positif methamphetamine, manakala semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati sindiket dipercayai aktif sejak Februari lalu itu dan sudah membuat beberapa penghantaran ke negara jiran.

“Kesemua suspek kini direman 11 hari bermula 1 Julai lalu hingga esok bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img