TUDM..saya bukan musuh anda, saya musuh pengkhianat – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, tindakan kerajaan membanteras salah laku dalam pasukan keselamatan bukan bertujuan memusuhi warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya menyasarkan individu yang mengkhianati amanah dengan menyalahgunakan aset ketenteraan untuk kegiatan jenayah.

Perdana Menteri berkata, tidak akan ada kompromi terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol menggunakan pesawat tentera bagi kegiatan penyeludupan dadah, termasuk dengan membabitkan rangkaian di dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, Anwar memaklumkan beliau akan mengunjungi Pangkalan Udara Butterworth petang ini bagi memberikan penjelasan secara langsung kepada warga TUDM supaya tindakan kerajaan tidak disalah tafsir sebagai usaha menjejaskan institusi pertahanan negara.

“Saya tidak peduli sama ada orang suka saya atau tidak. Saya terpaksa turun ke (pangkalan) TUDM untuk beritahu mereka, saya bukan musuh anda.

“Saya adalah musuh pengkhianat yang menggunakan pesawat tentera udara untuk mengangkut dadah dengan bersekongkol bersama pihak luar dan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Semarak Wakaf Perdana 2026 di Bayan Lepas hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kes penyalahgunaan aset ketenteraan itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada masalah integriti yang lebih besar dalam agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara.

Menurutnya, kelemahan berkenaan tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada budaya mengambil mudah tanggungjawab sehingga membuka ruang kepada penyelewengan yang berlarutan.

“Mengapa perkara ini berlaku?, Kerana kita ambil mudah. Kerana budaya kita sudah menjadi sistemik. Ini bukan soal hukum hudud, pancung kepala atau potong tangan, tetapi berbilion ringgit lesap,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan amalan sedemikian berterusan kerana ia bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan.

Isu berkenaan timbul susulan pendedahan kegiatan sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset udara TUDM bagi melaksanakan operasi jenayah dengan penglibatan anggota tentera dan orang awam.

Anwar sebelum ini menyifatkan perbuatan itu sebagai pengkhianatan serius terhadap negara dan menggesa siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti semua pihak yang terbabit.

Beliau turut menegaskan dakwaan penyalahgunaan pesawat tentera itu tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil kerana ia melibatkan aset strategik negara yang sepatutnya digunakan bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Malaysia.

Kerajaan mahu memastikan setiap individu yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukan atau jawatan, selain memperkukuh kawalan dalaman bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here