PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi muncul sebagai pemimpin paling popular sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila mencatatkan tahap populariti hampir dua kali ganda mengatasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, ILHAM Centre berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan populariti Onn Hafiz mencecah 79 peratus berbanding 40 peratus bagi Anwar dalam kalangan responden.
ILHAM Centre memberitahu, dapatan itu menunjukkan pengundi lebih cenderung menilai prestasi kerajaan negeri berbanding Kerajaan Persekutuan ketika membuat keputusan dalam pilihan raya negeri.
“Dalam konteks PRN, pertimbangan pengundi lebih bersifat lokal dengan memberi tumpuan kepada siapa yang mentadbir Johor, keberkesanan pentadbiran negeri serta manfaat yang dirasai secara langsung oleh rakyat.
“BN dilihat mendahului daripada sudut penerimaan kempen apabila menjadikan prestasi Onn Hafiz sebagai modal utama untuk menarik sokongan pengundi,” kata pusat penyelidikan tersebut.
ILHAM Centre berkata, naratif kempen BN dibina berasaskan kesinambungan pentadbiran, kestabilan politik serta rekod prestasi Onn Hafiz yang diperkukuh menerusi pelaksanaan projek berskala besar seperti Rapid Transit System (RTS), pembangunan pusat data, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pelbagai bantuan tunai kerajaan negeri.

‘’ PH pula dilihat terlalu bergantung kepada pengaruh Anwar bagi menggerakkan momentum kempen. Walaupun Perdana Menteri turun berkempen secara agresif di banyak kawasan, pendekatan itu tidak berjaya diterjemahkan kepada pembentukan gelombang sokongan yang ketara, ‘’kata ILHAM Centre.
Selain itu,kata ILHAM Centre, Dapatan kajian juga mendapati sebahagian besar pengundi tidak dapat menyatakan dengan jelas tema atau isu utama yang dibawa PH sepanjang kempen selain menyeru supaya kerajaan Persekutuan diberikan sokongan.
“Cubaan menjadikan perdebatan antara Dr Maszlee Malik dan Onn Hafiz sebagai tumpuan kempen juga tidak berjaya direalisasikan, manakala naratif integriti dan akauntabiliti gagal mengatasi perhatian pengundi terhadap isu kos sara hidup serta keperluan harian,” kata kenyataan tersebut.
Menurut ILHAM Centre, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, mobiliti harian ke Singapura, perumahan mampu milik dan kesesakan lalu lintas kekal menjadi pertimbangan utama pengundi merentasi kaum, umur dan kawasan.
‘’Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan populariti Onn Hafiz berjaya mengatasi pengaruh Anwar dalam membentuk kecenderungan pengundi.
“Dapatan ini memperlihatkan bahawa dalam pilihan raya negeri, kredibiliti kepimpinan di peringkat negeri masih menjadi faktor yang lebih dominan berbanding pengaruh pemimpin di peringkat nasional,” kata ILHAM Centre.






