
DINAMIKA hubungan yang semakin tegang antara Pas dan Bersatu menjejaskan keyakinan penyokong terhadap kesepaduan Perikatan Nasional (PN), kata ILHAM Centre.
Menurut ILHAM Centre, isyarat politik yang bercelaru mengenai hala tuju gabungan, disertai kegagalan menampilkan kepimpinan dan strategi yang jelas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor , telah menghakis imej PN sebagai sebuah alternatif yang bersedia mengambil alih pentadbiran negeri.
‘’Keadaan ini menyebabkan PN memasuki PRN Johor dalam keadaan tempang dan tanpa persediaan yang mencukupi. Dapatan menunjukkan sebahagian penyokong tradisi PN kecewa dengan kelemahan penyelarasan jentera, kempen yang kurang tersusun serta kegagalan menampilkan naratif yang mampu menandingi kelebihan BN.
‘’Di banyak kawasan majoriti Melayu, pertandingan yang pada asalnya dijangka sengit akhirnya lebih memihak kepada BN apabila PN gagal memanfaatkan asas sokongan yang dibina sejak PRU-15,’’ kata ILHAM Centre dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama kata ILHAM Centre, PH tidak berupaya memberikan cabaran yang signifikan di kawasan majoriti Melayu. Keadaan ini menjadikan pertandingan di kawasan tersebut sepatutnya memberi ruang kepada PN untuk muncul sebagai pencabar utama.
‘’Namun kelemahan dalaman PN telah mengubah dinamik persaingan. Akibatnya, sebahagian pengundi yang sebelum ini cenderung kepada PN memilih untuk kembali menyokong BN atas pertimbangan sentimen, manakala sebahagian lagi mengambil pendekatan berkecuali. Senario ini akhirnya memberi limpahan kelebihan kepada BN di banyak kerusi majoriti Melayu,’’ kata ILHAM CENTRE.
Menurut pusat penyelidikan itu, satu dapatan yang menarik ialah sebahagian besar pengundi muda yang sebelum ini obsess dengan PN sebenarnya tidak menyedari sepenuhnya keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu.
‘’Mereka masih melihat PN sebagai satu jenama politik yang utuh, sedangkan di peringkat kepimpinan, gabungan tersebut sedang berdepan krisis keyakinan dan hala tuju. Jurang antara persepsi akar umbi dengan realiti elit politik menyebabkan PN gagal menterjemahkan sokongan ini kepada gerak kerja pilihan raya yang berkesan,’’ kata ILHAM Centre.
Dalam konteks PRN Johor, kata ILHAM Centre, kelemahan tersebut bukan sahaja menyebabkan PN gagal muncul sebagai pencabar utama, malah secara tidak langsung menjamin laluan yang lebih mudah kepada BN untuk menguasai sebahagian besar kerusi majoriti Melayu.
Mengenai kehadiran parti-parti kecil, ILHAM Centre berkata, ia tidak banyak mengubah struktur persaingan yang kekal didominasi oleh BN dan PH.
Kata ILHAM Centre, walaupun terdapat jangkaan bahawa parti seperti MUDA dan Bersama mampu menawarkan alternatif kepada pengundi, dapatan ILHAM menunjukkan kedua-duanya gagal membentuk gelombang baharu yang mampu mempengaruhi corak pengundian secara signifikan.
Sebaliknya, kata ILHAM Centre, kempen mereka tenggelam dalam persaingan antara parti-parti utama sehingga sukar menarik perhatian pengundi.
‘’Bagi MUDA, strategi kempen dilihat terlalu bergantung kepada populariti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai aset utama parti. Namun, populariti tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada sokongan yang meluas di Johor.
‘’Dapatan turut menunjukkan persepsi pengundi bahawa kemenangan MUDA di DUN Puteri Wangsa pada PRN 2022 lebih banyak disumbangkan oleh kedudukannya sebagai sebahagian daripada gabungan PH ketika itu, dan bukannya semata-mata faktor populariti Syed Saddiq,’’ kata ILHAM CENTRE.
Menurut ILHAM Centre, pabila bertanding secara bersendirian, MUDA gagal mengekalkan kelebihan yang pernah dinikmati pada pilihan raya lalu.
‘’Kehadiran MUDA di beberapa kerusi seperti Simpang Jeram, Maharani, Bukit Batu dan Puteri Wangsa juga lebih banyak memberi kesan kepada pecahan undi dalam blok pembangkang berbanding membina kekuatan baharu.
Akibatnya, pertandingan di kerusi-kerusi tersebut menjadi lebih menguntungkan BN berbanding meningkatkan daya saing MUDA sendiri,’’ kata ILHAM Centre.
Menurut ILHAM Centre, situasi yang hampir sama turut berlaku kepada parti Bersama.
‘’Walaupun parti ini cuba membawa imej politik generasi baharu, kempen yang dijalankan gagal membentuk fenomena atau gelombang baharu dalam kalangan pengundi.
‘’Sebaliknya, mereka dilihat terperangkap dalam pendekatan kempen yang tidak banyak berbeza dengan parti-parti sedia ada. Beberapa kontroversi yang melibatkan calon sepanjang tempoh kempen pula telah menenggelamkan usaha parti tersebut untuk menampilkan naratif alternatif, sekali gus mengehadkan keupayaannya memberi cabaran yang signifikan kepada parti-parti utama,’’ kata ILHAM Centre.
Secara keseluruhannya, dapatan kualitatif ILHAM Centre menunjukkan sebahagian pengundi melihat MUDA dan Bersama sekadar sebagai “kacau daun” dalam persaingan PRN Johor.
‘’Istilah ini menggambarkan persepsi bahawa kehadiran mereka lebih banyak memecahkan undi blok pembangkang berbanding menawarkan pilihan ketiga yang benar-benar berdaya saing.
‘’Dalam keadaan persaingan yang semakin tertumpu kepada rekod pentadbiran, kekuatan jentera dan kredibiliti calon, parti-parti kecil masih belum berjaya meyakinkan pengundi bahawa mereka mempunyai kapasiti untuk menjadi alternatif politik yang realistik di Johor,’’ kata ILHAM Centre.






