BEKAS Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengucapkan Selamat Hari Jadi Ke-101 beliau hari ini.
Melalui klip video dalam Facebook CheDet, Dr.Mahathir berkata, beliau menerima banyak ucapan hari jadi hari ini.
‘’Saya ucap terima kasih kepada semua yang hantar mesej berkenaan dengan hari kelahiran saya yang ke-101. Pada hari ini 10 haribulan (Julai) saya meningkat kepada 101 tahun umur. Dan saya terima banyak kad-kad ucapan happy birthday,’’ katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Facebook beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr.Mahathir.
‘’ Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-101 buat Tun Dr Mahathir Mohamad. Semoga Tun terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatanNya, Insya-Allah,’’ kata Anwar.
Dalam perkembangan sama, beberapa Menteri Kabinet hari ini menzahirkan ucapan yang sama kepada Dr.Mahathir.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook mendoakan agar Dr Mahathir dikurniakan kesihatan berpanjangan, kebahagiaan dan usia yang penuh keberkatan.
“Semoga Tun dikurniakan kesihatan berpanjangan, kebahagiaan dan usia yang penuh keberkatan. Happy 101st Birthday! (Selamat hari ulang tahun ke-101!) What an incredible milestone! (Pencapaian yang luar biasa!),” katanya.
Turut mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kedua-dua menteri berkenaan turut mendoakan agar Dr Mahathir dikurniakan kesihatan yang baik, dilimpahi rahmat Allah SWT dan terus berada dalam keberkatan-Nya.
Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah serta merupakan Perdana Menteri keempat dan ketujuh yang pernah menerajui kepimpinan negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, sebelum kembali memegang jawatan itu bagi tempoh 2018 hingga 2020.
Pelantikan semula beliau pada usia 92 tahun turut melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai Perdana Menteri tertua di dunia.






