KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dapatan serta syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung proses pengurusan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dan tadbir urus kementerian.
KDN dalam kenyataan berkata, kementerian sentiasa menghormati fungsi semak dan imbang institusi yang diwujudkan di bawah undang-undang serta akan meneliti setiap syor yang dikemukakan bagi tujuan penambahbaikan.
Menurutnya, permohonan kewarganegaraan mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh terhadap setiap permohonan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang berkaitan serta kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.
Katanya, dalam melaksanakan tanggungjawab itu, KDN turut mendapatkan penelitian serta semakan daripada pelbagai agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan.
“KDN akan meneliti dapatan serta syor yang dikemukakan oleh EAIC bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan yang bersesuaian.
“Antara aspek yang akan diberi perhatian ialah pengukuhan prosedur operasi standard (SOP), dokumentasi, penyelarasan proses kerja serta mekanisme tadbir urus yang selaras dengan amalan terbaik perkhidmatan awam. Latihan berterusan juga akan diberikan kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat,” katanya.
Menurut kementerian itu, kuasa pertimbangan bagi setiap permohonan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira kepentingan awam, keselamatan negara serta fakta setiap kes.
Pada masa sama, KDN memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana agensi yang mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan menurut undang-undang.
“Kementerian kekal komited memperkukuh integriti, ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan bagi memastikan setiap urusan berkaitan kewarganegaraan dilaksanakan secara profesional, berakauntabiliti dan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan EAIC mengesyorkan JPN dan KDN menyemak semula keseluruhan proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak negara selepas siasatan mendapati terdapat beberapa ketidakaturan dan ketidakpatuhan dalam proses berkenaan.
Hasil siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) EAIC mendapati syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur.
Selain itu, siasatan turut mendapati wujud ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk, termasuk membabitkan proses temu duga dan tapisan keselamatan oleh JIM terhadap pemain terbabit.






